Lambakan Informasi, Keliru Untuk Bermula
Monday, July 30th, 2007Internet menyebabkan ramai penggunanya mengalami satu sindrom dinamakan paralisis analisis. Anda tentu ingat saya pernah menyentuh hal ini suatu masa dahulu. Satu sindrom yang boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan malah kewangan anda!
Kepantasan komunikasi membolehkan maklumat disebarkan secara masa nyata. Jam ini ada seorang usahawan internet melancarkan produk barunya di kutub utara, anda di Malaysia akan mengetahuinya beberapa saat kemudian. Begitu pantas.
Ditambah pula dengan pelbagai lagi informasi terkini yang boleh anda dapati secara percuma di internet. Menyebabkan otak berasa tepu dek penangan lambakan pelbagai informasi yang baru anda hadam di dalam otak.
Dalam konteks mencari ilmu untuk memulakan perniagaan internet sendiri; kesannya, anda akan menjadi lumpuh secara maya dan fizikal. Keliru dan mati punca. Tidak tahu bagaimana untuk bermula.
Saya cuba membawa kembali motto kegemaran saya.
Bermula sekarang, bermula kecil
Jangan jadikan kekurangan sebagai alasan untuk tidak memulakan tindakan. Jangan pula mengambil sikap menunggu sehingga ilmu betul-betul cukup tepu di dalam otak.
Kedua-dua situasi ini tidak membantu pun untuk anda lebih komited dengan usaha memulakan perniagaan internet anda.
Semalam dah jadi sejarah,
Esok masih misteri,
Hari Ini adalah anugerah
Sekarang adalah pasti. Semalam dah berlalu. Jangan pening kepala fikir apa yang bakal berlaku esok. Apa yang anda buat sekarang akan mendatangkan hasilnya esok.
Pernah dengar prinsip “butterfly effect”?
Ia merupakan satu fenomena di mana satu perubahan kecil dalam satu sistem yang kompleks boleh mendatangkan kesan besar di tempat lain. Contoh mudah, satu hayunan kepak rama-rama di Gombak boleh menyebabkan punca ribut taufan di Florida, Amerika.
Begitu juga dengan hidup anda. Perubahan kecil yang anda lakukan sekarang sebenarnya amat mencorakkan hasil yang besar pada masa depan anda nanti.
Jadi, fokuskan kepada apa yang anda ada sekarang! Kemudian mulakan. Bersedia untuk hadapi apa juga bentuk kegagalan. Ianya pasti sebab kegagalan adalah teman sejati kejayaan.
Sebagai teman sejati, kegagalan akan cuba menguji anda. Adakah anda benar-benar komited untuk mendominasi kejayaan yang anda impikan.
Pengalaman yang serupa apabila anda cuba memikat seorang teman impian hati. Bukan kerja mudah. Banyak persaingan dan batu api yang menanti.
Persoalannya, berapa pantas dan berapa kerap anda akan menghadapi kegagalan tersebut. Persisten atau usaha berterusan adalah perisai yang dapat mengalahkan kegagalan.
Semua tokoh berjaya yang anda kenal sekarang bermula daripada tiada atau serba kekurangan. Apa bezanya dengan anda?
Orang lain sibuk buat duit, anda pula sibuk buat alasan.
Nasihat saya kepada anda, cermin diri, pasang impian anda, fokus, rancang strategi lebih kurang dan terus bertindak. Sikap bertangguh pula sebenarnya menjurus anda kepada kemiskinan.
Perbaiki setiap tindakan dari semasa ke semasa. Kejayaan sebenarnya sudah hampir dengan anda. Ingat, hanya anda sahaja yang dapat mengubah diri sendiri.
Akhir kata, amati kata-kata berikut:
Untuk mencapai kejayaan, bukan berdasarkan kepada berapa banyak rahsia yang anda tahu, tetapi ia bergantung kepada berapa banyak usaha anda untuk bertindak.
Selamat berjaya!
Technorati Tags: paralisis analisis, usahawan internet, perniagaan internet, buat duit









