Kisahku Disebalik Merdeka
Thursday, August 30th, 2007
Beberapa minit lagi akan tiba detik 12 malam 31hb Ogos 2007.
Kesempatan ini diambil untuk mengucapkan selamat menyambut hari ulangtahun kemerdekaan yang ke-50 untuk semua rakyat Malaysia dan terutamanya usahawan internet kita. Betapa beruntungnya kita kerana dapat menjalankan perniagaan internet dengan aman, damai dan lancar tanpa perlu risau akan gangguan anasir negatif.
Anda wajib bersyukur dengan nikmat ini.
31hb Ogos juga mencatatkan sejarah peribadi buat saya. Ianya merupakan satu tarikh keramat. Saya merdeka daripada makan gaji lalu membuat satu transformasi hidup dan mendedikasikan sepenuhnya masa saya kepada perniagaan internet.
Meskipun mendapat tentangan hebat daripada pihak majikan, rakan dan keluarga; saya nekad. Saya keluar daripada zon selesa kehidupan meskipun berada dipuncak kerjaya dengan gaji yang lumayan. Lantas saya tidak lagi memberi ruang untuk menyesal dan berfikir dua kali.
Ya, ini merupakan cubaan ke-3 selepas 2 kali gagal dalam perniagaan sendiri sejak tahun 1999. Perniagaan pertama hanya bertahan beberapa bulan. Ditutup selepas kena tipu dengan rakan niaga luar. Akibat menjalankan urusniaga berdasarkan kepercayaan.
Perniagaan kedua nampak lebih maju sedikit. Kami bermula dengan menghasilkan satu portal perkhidmatan. Memandangkan kos pengurusan dan promosi tinggi, kami berjumpa dengan pelbagai Venture Capitalist, Malaysia, USA dan Jepun. Tiada pula VC yang sanggup melabur akibat penangan bibit dot bomb ketika itu.
Jadi, kami teruskan dengan plan B. Menyediakan khidmat outsourcing kepada klien korporat. Kali ini menjadi. Daripada berempat, kami berkembang menjadi 17 orang. Masyuk. Namun tidak lama. Krisis ekonomi yang melanda menyebabkan banyak klien korporat kami menjadi liat apabila tiba waktu membayar perkhidmatan kami.
Bulan berganti bulan, akhirnya kami mengalami masalah kewangan serius. Saya dan pengarah syarikat lain terpaksa potong gaji semata-mata untuk menanggung kos operasi dan membayar gaji staff.
Akhirnya, selepas setahun perniagaan ke-2 terpaksa ditutup. Selepas staff dinasihatkan berhenti dan ada yang kami pindahkan ke syarikat klien.
Manakala saya dan rakan niaga lain balik ke kampung. Tersungkur dan termenung. Tiada lagi duit di poket. Lebih buruk lagi hidup ketika itu dibebani hutang kad kredit yang menggunung. Kereta pun nak kena tarik. Memang gelap.
Selepas sebulan bertapa di kampung, saya cekalkan hati dan tebalkan muka untuk bangkit semula. Tiada cara lain lagi. Saya perlukan JOB (Just Over Broke).
Jika anda ditempat saya, sudah tentu anda akan dapat rasa bagaimana tercalarnya maruah ketika itu. Dari seorang boss kini jadi seorang peon…
Saya menawarkan khidmat nasihat dan pemindahan teknologi untuk satu produk yang kami bangunkan untuk satu klien korporat kami dahulu. Selepas beberapa kali tawar menawar dan negotiation akhirnya saya diterima. Saya jual khidmat kemahiran saya kepada mereka.
Tidak cukup dengan itu, saya bekerja pada hujung minggu untuk satu lagi klien korporat sebagai perunding IT. Selama lebih 2 tahun saya bekerja 7 hari seminggu dan adakalanya tidak tidur seharian. Bayangkan setiap hari jumaat selesai waktu opis dengan majikan pertama saya perlu bergegas ke site sejauh 300km untuk memberikan khidmat rundingan dengan klien ke-2 keesokan paginya.
Selepas 2 tahun, barulah hidup saya stabil semula. Kini saya belajar daripada sejarah. Jangan buat sesuatu perkara secara membuta tuli. Mesti ada ilmu. Hindari risiko sebolehnya. Mesti ada plan B. Jangan kamikaze.
Memandangkan kerja saya sememangnya berkait dengan teknologi internet, secara tidak langsung saya mula terlihat bermacam peluang baru yang wujud di internet selepas kejatuhan dot bomb. Banyak kaedah buat duit secara online telah saya cuba ketika itu.
Dipendekkan cerita, pada 1hb Ogos 2005 selepas yakin akan peluang dengan perniagaan internet, saya meletakkan jawatan. Mengikut prosidur saya perlu memberikan notis 30 hari daripada tarikh perletakan.
Ketika rakyat Malaysia bergembira dan berpesta menyambut detik 12 malam 31hb Ogos 2005 itu, saya pula melangkah dengan semangat baru keluar daripada opis untuk perjuangan baru saya.
Begitulah secara ringkasnya episod suka duka kehidupan saya yang lampau. Dramatik. Memang manis untuk dikenang.
Saya telah mengalaminya. Anda bagaimana?
Jangan sesekali mengalah. Kalau jatuh, bangkit semula dengan segera tidak kira dengan apa juga cara. Kegagalan itu pasti. Kejayaan juga pasti selepas anda hadapi kegagalan.
Hidup kita di dunia ini amat pendek. Jangan benarkan sesiapa menghalang apa yang anda impikan.
Kini saya kembali menjadi seorang usahawan. Bezanya, kini saya adalah usahawan internet yang merdeka!
Technorati Tags: Malaysia, usahawan internet, perniagaan internet, merdeka, buat duit













