Hari ini saya ingin berehat sebentar dan menenangkan fikiran selepas hampir sebulan melakukan kerja-kerja intensif untuk e-biz Tuah Emas. Kalau boleh nak servis sekali kepala otak sebagai persediaan untuk melaksanakan perancangan seterusnya. Jadi, saya kembali melihat rak buku mini perpustakaan di rumah yang tersimpan lebih 100 koleksi buku non-fiksyen yang terkini. Kebanyakannya berkisar mengenai bidang perniagaan internet dan tidak lupa buku mengenai para jutawan tempatan dan luar negara. Selainnya, berkaitan teknikal komputer dan psikologi. Tidak lupa juga beberapa novel dan cerita hikayat.
Selain membaca di rumah, saya juga gemar berkunjung ke Kinokuniya KLCC (hanya beberapa minit daripada rumah melalui lebuh-raya bertingkat dan terus masuk parking…hehehe) atau MPH untuk “menyedut” beberapa informasi terkini. Saya akan melepak disitu untuk berjam-jam lamanya.
Berbalik kepada mini perpustakaan di rumah, saya tertarik dengan sebuah buku kaler biru dan berkulit keras (hard-cover) yang saya terima secara percuma, komplimentari daripada seorang jutawan terkenal Malaysia - Azizi Ali. Buku tersebut baru beberapa bulan dilancarkan dipasaran. Ia bertajuk “Retire Rich”.

Buku terbaru Azizi Ali - Retire Rich

Buku ini komplimentari percuma daripada penulis

Disertakan autograf penulis
Sudah hampir sebulan buku tersebut berada di rak. Kini, tiba masanya saya menelaah tulisan terbaru beliau. Saya suka membaca tulisan daripada anak petani kelahiran Perlis ini. Beliau seorang yang peramah, tegas dan kelakar. Loghat percakapan beliau kedengaran keutaraan sedikit dan bercakap selalu kedengarannya sinis. Penulisannya amat bersahaja dan diselit dengan unsur-unsur humor. Itu antara faktor mengapa Azizi Ali menjadi penulis favorite kebanyakan orang Malaysia. Meskipun sudah bergelar semi-selebriti, beliau masih seorang yang low-profile. Beruntung Puan Azlyn mempunyai suami sebegitu.
Mengenai buku “Retire Rich”. Memang benar, hampir 90% rakyat Malaysia menurut statistik KWSP mempunyai simpanan hari tua yang kelihatan kabur. Tiada perancangan kewangan yang serius. Kebanyakan mereka hanya ambil ringan isu ini. Bagi mereka, bila tiba hari bersara kelak; mereka mengimpikan satu kehidupan yang penuh ketenangan tanpa perlu bekerja keras lagi. Sumber kewangan mereka ketika itu hanya bersandarkan kepada simpanan KWSP dan simpanan-simpanan yang lain. Mungkin, ketika itu anak-anak mereka telah besar dan bekerja. Maka, anak-anak juga boleh menyumbangkan serba sedikit perbelanjaan harian mereka ketika itu.
Malangnya, hidup kita ini tidak seindah diimpikan. Bak kata Bill Gates - “Life is not fair, get used to it”.
Menurut statistik, hampir 90% rakyat kita hanya mempunyai simpanan kurang RM100,000. Jika anda berangan untuk bersara pada usia 56 tahun, berapakah nilai sebenar jumlah tersebut jika umur anda sekarang masih 25 tahun? Ingat ya, RM1 sekarang tidak akan sama nilainya selepas 30 tahun nanti. Ini faktor inflasi. Jika menurut “Rule 72″, nilai RM100,000 dengan kadar inflasi purata 4% setahun akan jatuh nilainya menjadi separuh selepas 18 tahun! Maksudnya, jika anda mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 ketika ini, selepas 18 tahun nanti, nilainya akan jatuh ke RM50,000. Bayangkan, apakah nilainya RM100,000 itu nanti selepas 30 tahun?
Duit yang bernilai RM50,000 dengan kos hidup yang sentiasa meningkat setiap tahun, berapa lamakah pula ia akan bertahan jika anda tidak mempunyai sumber kewangan lain ketika bersara nanti? Katakan, kos perbelanjaan bulanan anda RM1,500 sebulan, maka ia akan bertahan sehingga 3 tahun sahaja! Lebih parah lagi, jika ketika itu anda perlu menanggung perbelanjaan anak-anak di universiti!!!
Jadi, hentikan angan-angan indah anda itu. Jangan jadikan baris skrip “Selagi belum tutup mata; kerja, kerja, kerja…” sebagai motto baru anda semasa bersara nanti. Mulakan perancangan hari tua anda mulai sekarang.
Kongsi Topik Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.